SAHABAT SELAMANYA

SAHABAT SELAMANYA

Thursday, 28 March 2013

KE ARAH PENERBITAN TANPA KERTAS




Sebelum kemunculan buku, manusia telahpun memiliki cara untuk menurunkan tulisan. Pada awal tamadun, manusia pada lazimnya menurunkan tulisan mereka di atas batu, papan, dan juga di atas daun (misalnya daun lontar yang menjadi lambang DBP). Sehubungan itu, medium tulisan awal ini adalah bentuk proto bagi buku. Buku dikatakan muncul dalam sejarah manusia apabila orang Mesir mencipta kertas papirus pada tahun sekitar 2400 SM. Kertas papirus yang diturunkan tulisan ini digulungkan untuk menjadi "skrol" (scroll), dan ia diyakini adalah bentuk buku yang paling awal.

            Buku memasuki satu era yang baru apabila industri kertas menjadi mantap. Kertas dipercayai muncul di negara China seawal-awalnya pada 200 SM. Selepas itu teknologi ini dibawa oleh pedagang muslim ke Eropah sebelum abad ke-11. Dengan adanya kertas, penulisan menjadi lebih mudah kerana kertas mempunyai ciri mudah disimpan dan juga tahan  lebih lama. Pembuatan kertas bermula pada tahun 1799 apabila seorang Perancis bernama Nicholas Louis Robert menemui proses untuk membuat lembaran-lembaran kertas dalam satu wire screen yang bergerak yang kini dikenali sebagai mesin Fourdrinier.

            Kini, tanpa disedari, kita telah memasuki masyarakat yang berorientasikan imej eletronik, akibat revolusi eletronik. Dalam zaman era globalisasi kini masyarakat perlu bersaing untuk memperoleh sebanyak mana maklumat dan ilmu pengetahuan bagi memastikan kita tidak akan ketinggalan jauh di belakang daripada orang lain. Kini, penerbitan elektronik telah mendominasi penerbitan yang memperlihatkan bahan terbitan mula dikeluarkan dan disimpan secara elektronik. Ia juga merujuk kepada proses yang menggunakan bantuan komputer untuk mencari, membentuk, menyimpan, dan mengemas kini kandungan maklumat kepada khalayak. Menurut Saxena (2009) kualiti yang terhasil melalui penerbitan elektronik pula sama sahaja seperti penerbitan biasa. Penerbitan elektronik merujuk pada buku elektronik, periodikal elektronik, penerbitan mel elektronik, penerbitan multimedia, dan kandungan digital.

            Peristiwa penting dalam penerbitan eletronik ialah perubahan proses dan media daripada penerbitan cetak yang sudah bermula di negeri China pada kurun yang ke- 5 kepada penerbitan imej digital, eletronik, dan tanpa kertas. Tamadun tanpa kertas pada abad ke- 21 ini berbeza daripada budaya tanpa kertas dalam tradisi lisan sebelum ini. Sekiranya tradisi lisan masa lampau itu disebabkan tahap literasi yang rendah, tetapi budaya tanpa kertas kini disebabkan gabungan literasi konvensional dan literasi komputer yang tinggi lantas juga melahirkan dunia maya (virtual world), berlatarbelakangkan pasaran global.

            Seorang pakar B. Shakel, mentakrifkan antara inti pati penerbitan eletronik ialah penulisan, penyemakan, penyuntingan, pengulasan, pembacaan dan lain-lain yang berkaitan itu dilakukan secara eletronik dalam bukunya bertajuk Journal of American Social Information Science. Kini, penerbitan eletronik juga telah dikaitkan dengan internet, lebuhraya maklumat, yang menjaringi ribuan pusat penyelidikan, penerbit, universiti, kolej dan organisasi lain.

            Dewasa ini, banyak sekali monograf dan jurnal sudah diterbitkan secara eletronik. Bentuk penerbitan eletronik pada umumnya termasuklah ‘desktop publishing’, ‘video publishing’, ‘on-line publishing’, ‘CD-ROM publishing’, ‘optical publishing’, ‘videodisk publishing’ , ‘multimedia publishing’, dan ‘internet publishing’. Antara faktor penting yang mendorong peningkatan penerbitan eletronik berkali-kali ganda itu ialah kapasiti baru PC (singkatan komputer peribadi, terjemahan dari personal komputer).  PC tersebar secara meluas, terciptanya kecerdasan buatan (artificial intelligence), pakej perisian yang canggih lagi ramah pengguna dan inovasi teknologi telekomunikasi. Dengan terbentuknya internet pula, bahan-bahan bercetak mula dipindahkan ke lebuhraya maklumat, dan bermulalah era buku elektronik dan jurnal dalam talian (online). Sehubungan dengan itu, istilah penerbitan elektronik sentiasa berubah pantas sejajar dengan perubahan dan kemajuannya  menurut Shaharom TM Sulaiman dan Salasiah Abd Wahab,Ibid.

            Penerbitan elektronik mempunyai kebaikan yang amat ketara melalui kapasiti capaiannya (retrieval capabilities) yang sukar ditandingi penerbitan cetak, apatah lagi mikroform dan manuskrip. Bukan sahaja hebat dari segi kepantasannya, tetapi juga ketepatan (specificity) maklumat yang ingin didapatkan. Hal ini disebabkan pakej perisian komputer kini membolehkan kita menggunakan bahasa dan perkataan kita sendiri (iaitu post-coordinate indexing terms), selain bahasa dan perkataan dalam teks (iaitu pre-cordinate indexing terms). Ini bermakna kita bebas menggunakan sama ada ‘controlled language’, atau ‘ natural language’ atau ‘free language’ untuk mencari bahan maklumat yang ingin kita ketahui.

            Seterusnya kebaikan penerbitan elektronik lain ialah penerbitan elektronik tidak memerlukan jangkamasa yang lama untuk menerbitkan sesuatu bahan. Pengarang asal hanya perlu menaipnya dengan komputer dan setelah menyemaknya, ia terus dikemukakan kepada penerbit jika ingin diterbitkan. Pengarang boleh juga terus menghubungi mana-mana webmaster, jika ingin menerbitkan bahannya ke dalam laman-laman web. Pengarang juga boleh meminta mana-mana penerbit menerbitkannya dalam bentuk CD-ROM. Oleh itu, orang ramai  tidak memerlukan jangkamasa yang lama, juga tidak perlu ditaip semula oleh mana-mana jurutaip.

            Selain itu,penerbitan elektronik memudahkan kerja pencarian maklumat dengan wujudnya jurnal-jurnal yang diterbitkan secara online yang sesuai digunakan untuk tujuan pembelajaran. Ada juga laman-laman web yang menerbitkan rencana-rencana ilmiah yang dapat dijadikan rujukan bagi mereka yang memerlukannya seperti www.usm.lib.my, www.utem.edu.my/press,  pkukmweb.ukm.my/penerbit dan sebagainya. Media massa seperti surat khabar dan majalah turut tidak ketinggalan diterbitkan dalam bentuk penerbitan online seperti Berita  Harian, The Star, Utusan  Malaysia, Kosmo, Metro, dan Sinar  Harian. Melalui penerbitan online ini, berita tentang pelbagai negara boleh diketahui dengan mudah oleh sesiapa sahaja  tanpa batasan masa dan tempat selagi tempat tersebut boleh mengakses internet. Kemudahan yang ada ini turut dimanfaatkan oleh parti-parti pembangkang dalam mengeluarkan akhbar secara online seperti Harakahdaily dan Suara Keadilan. Melalui penerbitan sebegini, masyarakat dapat mengetahui perkembangan demokrasi serta memberi kebebasan untuk berpolitik bagi mempertimbangkan baik dan buruk sesuatu perkara.

            Dewan Bahasa dan Pustaka turut terlibat dalam penerbitan elektronik melalui Karyanet yang turut diterbitkan dalam edisi elektronik. Orang ramai boleh membelinya dan membacanya dengan menggunakan perisian Adobe Acrobat atau Adobe Reader. Malah melalui Karyanet juga disediakan komik elektronik, khusus untuk kanak-kanak. Melalui capaian Klik DBP juga membolehkan kita untuk mencari perkataan bahasa Melayu yang ingin diketahui maksudnya, ejaan, seerti dan bermacam-macam lagi. PTS Publications pula dengan kerjasama Metadome Sdn Bhd menerbitkan judul-judul terpilih edisi cetakannya kepada bentuk buku mudah alih yang dikenali sebagai Mbook atau mobile book dan ia dikatakan mendapat sambutan hangat. 

            Kamus eletronik Oxford English Dictionary pula telah membuka lembaran baru dalam sejarah manusia dalam mencari dan mengurus maklumat. Seperti kamus cetak juga, setiap perkataan dan konsep yang dijadikan entri dalam kamus eletronik itu disertai makna, antonim, sinomin, contoh penggunaan, bentuk singkatan, penerangan tentang nahu, etimologi, kelas, sumber rujukan, dan sifat-sifat lain. Di samping itu, seorang usahawan teknologi maklumat, Che Onn Ismail turut mengambil inisiatif bagi menerbitkan majalah dalam talian(e-penerbitan), www.wuuhuuonline.com iaitu E-Komik yang mengetengahkan konsep humor kepada pembaca. Idea menerbitkan majalah dalam talian ini tercetus apabila beliau memikirkan perkara yang diinginkan oleh pengguna, khususnya golongan remaja sekarang dan yang akan datang. Ia juga dibangunkan bertujuan memupuk minat membaca secara digital dalam kalangan masyarakat Malaysia dan dunia sekaligus dapat mendedahkan mereka mengenai konsep penerbitan tanpa kertas.

            Sesungguhnya penerbitan elektronik semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tidak kira di dalam mahupun di luar negara. Hal ini bertepatan dengan kehendak arus zaman moden kini yang banyak bergantung terhadap bahan elektronik. Keadaan ini  telah memudahkan kerja-kerja penerbitan, menyingkatkan waktu, serta mengurangkan tenaga manusia. Hidup dalam persekitaran maklumat eletronik ini, kita perlu tahu cara yang terbaik dalam mengurus dan menggunakan maklumat itu. Kita perlu menghargai kemajuan dan kecanggihan yang telah dicapai setakat ini. 

            Dengan itu, sebagai manusia yang hidup bermasyarakat, kita mesti peka kepada komuniti dan organisasi baru yang lahir atau terbentuk daripada persekitaran maklumat baru itu agar kita tidak jauh ketinggalan maklumat serta ilmu baru. Oleh itu, sebagai generasi baru yang pada peringkat awal sudah didedahkan kepada arus teknologi elekronik, kita perlulah memanfaatkan sepenuhnya kemudahan dan kemajuan ini agar kita  mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan masyarakat di negara maju yang lain melalui pembacaan serta perkongsian ilmu. Melalui penerbitan tanpa kertas ini, kita dianggap bergerak sejajar dengan arus moden sekaligus mewujudkan keseimbangan ekosistem dengan mengurangkan penebangan pokok akibat daripada penggunaan kertas itu sendiri.


BIBLIOGRAFI

Stuart Allan (2006). Online News : Journalism and the Internet. Berkshire England : Open            University Press.   
Chamil Wariya (2008). Penulisan Berkesan: Media Cetak, Elektronik dan Web. Kuala        Lumpur : Malaysian Press Institute.

http://ms.wikipedia.org/wiki/Buku         (8 Mac 2012)



(21 Feb.2012)

(26 Mac 2012)





No comments:

Post a Comment