SAHABAT SELAMANYA

SAHABAT SELAMANYA

Thursday, 28 March 2013

Sahabat Dunia Akhirat..Insya-Allah...



Sahabat .....
Ku ucapkan terima kasih pada kalian

Kerana kalian telah merubah hidupku
Semenjak adanya kalian

Hidupku tak terasa sepi,hidupku lebih berwarna
Dan aku lebih memahami apa erti hidup ini

Sahabat....
Di kala ku sedih kalian yang menghiburku
Di kala ku putus asa kalian yang memberi ku semangat
Di kala ku susah kalian juga yang membantuku
Aku tak ingin berpisah dari kalian
Aku ingin kalian selalu di sampingku

Tapi Sahabat....
Lambat laun waktu kan berjalan
Hingga saatnya nanti kita kan berpisah
Mungkin nanti kalian akan melupakan ku
Melupakan semua tentang ku
Tapi satu yang harus kalian tahu
Kalian akan selalu ku kenang di hati yg terdalam
Dan selamanya sampai bila pun
Kerana kalian adalah besties terbaik di hati ku


Kisah Nabi Sulaiman a.s..

Kisah Nabi Sulaiman dengan Semut

Kisah 1

Kerajaan Nabi Sulaiman AS dikala itu sedang mengalami musim kering yang begitu
panjang. Lama sudah hujan tidak turun membasahi bumi. Kekeringan melanda di mana-mana. Baginda Sulaiman AS mulai didatangi oleh umatnya untuk meminta pertolongan dan memintanya memohon kepada Allah s.w.t agar menurunkan hujan untuk membasahi kebun-kebun dan sungai-sungai mereka. Baginda Sulaiman AS kemudian memerintahkan satu rombongan besar pengikutnya yang terdiri dari bangsa jin dan manusia berkumpul di lapangan untuk berdoa memohon kepada Allah s.w.t agar musim kering segera berakhir dan hujan segera turun.

Sesampainya mereka di lapangan Baginda Sulaiman AS melihat seekor semut kecil
berada di atas sebuah batu. Semut itu berbaring kepanasan dan kehausan. Baginda
Sulaiman AS kemudian mendengar sang semut mulai berdoa memohon kepada Allah s.w.t penunai segala hajat seluruh makhluk-Nya. "Ya Allah pemilik segala khazanah, aku berhajat sepenuhnya kepada-Mu, Aku berhajat akan air-Mu, tanpa air-Mu ya Allah aku akan kehausan dan kami semua kekeringan. Ya Allah aku berhajat sepenuhnya pada-Mu akan air- Mu, kabulkanlah permohonanku", doa sang semut kepada Allah s.w.t. Mendengar doa si semut maka Baginda Sulaiman AS kemudian segera memerintahkan rombongannya untuk kembali pulang ke kerajaan sambil berkata pada mereka, "kita segera pulang, sebentar lagi Allah s.w.t akan menurunkan hujan-Nya kepada kalian. Allah s.w.t telah mengabulkan permohonan seekor semut". Kemudian Baginda Nabi Sulaiman dan rombongannya pulang kembali ke kerajaan.

Kisah 2

Suatu hari Baginda Sulaiman AS sedang berjalan-jalan. Ia melihat seekor semut sedang berjalan sambil mengangkat sebutir buah kurma. Baginda Sulaiman AS terus mengamatinya, kemudian beliau memanggil si semut dan menanyainya, Hai semut kecil untuk apa kurma yang kau bawa itu?. Si semut menjawab, Ini adalah kurma yang Allah s.w.t berikan kepada ku sebagai makananku selama satu tahun. Baginda Sulaiman AS kemudian mengambil sebuah botol lalu ia berkata kepada si semut, Wahai semut ke marilah engkau, masuklah ke dalam botol ini aku telah membagi dua kurma ini dan akan aku berikan separuhnya padamu sebagai makananmu selama satu tahun. Tahun depan aku akan datang lagi untuk melihat keadaanmu. Si semut taat pada perintah Nabi Sulaiman AS. Setahun telah berlalu. Baginda Sulaiman AS datang melihat keadaan si semut. Ia melihat kurma yang diberikan kepada si semut itu tidak banyak berkurang. Baginda Sulaiman AS bertanya kepada si semut, hai semut mengapa engkau tidak menghabiskan kurmamu Wahai Nabiullah, aku selama ini hanya menghisap airnya dan aku banyak berpuasa. Selama ini Allah s.w.t yang memberikan kepadaku sebutir kurma setiap tahunnya, akan tetapi kali ini engkau memberiku separuh buah kurma. Aku takut tahun depan engkau tidak memberiku kurma lagi kerana engkau bukan Allah Pemberi Rezeki (Ar-Rozak), jawab si semut.

KE ARAH PENERBITAN TANPA KERTAS




Sebelum kemunculan buku, manusia telahpun memiliki cara untuk menurunkan tulisan. Pada awal tamadun, manusia pada lazimnya menurunkan tulisan mereka di atas batu, papan, dan juga di atas daun (misalnya daun lontar yang menjadi lambang DBP). Sehubungan itu, medium tulisan awal ini adalah bentuk proto bagi buku. Buku dikatakan muncul dalam sejarah manusia apabila orang Mesir mencipta kertas papirus pada tahun sekitar 2400 SM. Kertas papirus yang diturunkan tulisan ini digulungkan untuk menjadi "skrol" (scroll), dan ia diyakini adalah bentuk buku yang paling awal.

            Buku memasuki satu era yang baru apabila industri kertas menjadi mantap. Kertas dipercayai muncul di negara China seawal-awalnya pada 200 SM. Selepas itu teknologi ini dibawa oleh pedagang muslim ke Eropah sebelum abad ke-11. Dengan adanya kertas, penulisan menjadi lebih mudah kerana kertas mempunyai ciri mudah disimpan dan juga tahan  lebih lama. Pembuatan kertas bermula pada tahun 1799 apabila seorang Perancis bernama Nicholas Louis Robert menemui proses untuk membuat lembaran-lembaran kertas dalam satu wire screen yang bergerak yang kini dikenali sebagai mesin Fourdrinier.

            Kini, tanpa disedari, kita telah memasuki masyarakat yang berorientasikan imej eletronik, akibat revolusi eletronik. Dalam zaman era globalisasi kini masyarakat perlu bersaing untuk memperoleh sebanyak mana maklumat dan ilmu pengetahuan bagi memastikan kita tidak akan ketinggalan jauh di belakang daripada orang lain. Kini, penerbitan elektronik telah mendominasi penerbitan yang memperlihatkan bahan terbitan mula dikeluarkan dan disimpan secara elektronik. Ia juga merujuk kepada proses yang menggunakan bantuan komputer untuk mencari, membentuk, menyimpan, dan mengemas kini kandungan maklumat kepada khalayak. Menurut Saxena (2009) kualiti yang terhasil melalui penerbitan elektronik pula sama sahaja seperti penerbitan biasa. Penerbitan elektronik merujuk pada buku elektronik, periodikal elektronik, penerbitan mel elektronik, penerbitan multimedia, dan kandungan digital.

            Peristiwa penting dalam penerbitan eletronik ialah perubahan proses dan media daripada penerbitan cetak yang sudah bermula di negeri China pada kurun yang ke- 5 kepada penerbitan imej digital, eletronik, dan tanpa kertas. Tamadun tanpa kertas pada abad ke- 21 ini berbeza daripada budaya tanpa kertas dalam tradisi lisan sebelum ini. Sekiranya tradisi lisan masa lampau itu disebabkan tahap literasi yang rendah, tetapi budaya tanpa kertas kini disebabkan gabungan literasi konvensional dan literasi komputer yang tinggi lantas juga melahirkan dunia maya (virtual world), berlatarbelakangkan pasaran global.

            Seorang pakar B. Shakel, mentakrifkan antara inti pati penerbitan eletronik ialah penulisan, penyemakan, penyuntingan, pengulasan, pembacaan dan lain-lain yang berkaitan itu dilakukan secara eletronik dalam bukunya bertajuk Journal of American Social Information Science. Kini, penerbitan eletronik juga telah dikaitkan dengan internet, lebuhraya maklumat, yang menjaringi ribuan pusat penyelidikan, penerbit, universiti, kolej dan organisasi lain.

            Dewasa ini, banyak sekali monograf dan jurnal sudah diterbitkan secara eletronik. Bentuk penerbitan eletronik pada umumnya termasuklah ‘desktop publishing’, ‘video publishing’, ‘on-line publishing’, ‘CD-ROM publishing’, ‘optical publishing’, ‘videodisk publishing’ , ‘multimedia publishing’, dan ‘internet publishing’. Antara faktor penting yang mendorong peningkatan penerbitan eletronik berkali-kali ganda itu ialah kapasiti baru PC (singkatan komputer peribadi, terjemahan dari personal komputer).  PC tersebar secara meluas, terciptanya kecerdasan buatan (artificial intelligence), pakej perisian yang canggih lagi ramah pengguna dan inovasi teknologi telekomunikasi. Dengan terbentuknya internet pula, bahan-bahan bercetak mula dipindahkan ke lebuhraya maklumat, dan bermulalah era buku elektronik dan jurnal dalam talian (online). Sehubungan dengan itu, istilah penerbitan elektronik sentiasa berubah pantas sejajar dengan perubahan dan kemajuannya  menurut Shaharom TM Sulaiman dan Salasiah Abd Wahab,Ibid.

            Penerbitan elektronik mempunyai kebaikan yang amat ketara melalui kapasiti capaiannya (retrieval capabilities) yang sukar ditandingi penerbitan cetak, apatah lagi mikroform dan manuskrip. Bukan sahaja hebat dari segi kepantasannya, tetapi juga ketepatan (specificity) maklumat yang ingin didapatkan. Hal ini disebabkan pakej perisian komputer kini membolehkan kita menggunakan bahasa dan perkataan kita sendiri (iaitu post-coordinate indexing terms), selain bahasa dan perkataan dalam teks (iaitu pre-cordinate indexing terms). Ini bermakna kita bebas menggunakan sama ada ‘controlled language’, atau ‘ natural language’ atau ‘free language’ untuk mencari bahan maklumat yang ingin kita ketahui.

            Seterusnya kebaikan penerbitan elektronik lain ialah penerbitan elektronik tidak memerlukan jangkamasa yang lama untuk menerbitkan sesuatu bahan. Pengarang asal hanya perlu menaipnya dengan komputer dan setelah menyemaknya, ia terus dikemukakan kepada penerbit jika ingin diterbitkan. Pengarang boleh juga terus menghubungi mana-mana webmaster, jika ingin menerbitkan bahannya ke dalam laman-laman web. Pengarang juga boleh meminta mana-mana penerbit menerbitkannya dalam bentuk CD-ROM. Oleh itu, orang ramai  tidak memerlukan jangkamasa yang lama, juga tidak perlu ditaip semula oleh mana-mana jurutaip.

            Selain itu,penerbitan elektronik memudahkan kerja pencarian maklumat dengan wujudnya jurnal-jurnal yang diterbitkan secara online yang sesuai digunakan untuk tujuan pembelajaran. Ada juga laman-laman web yang menerbitkan rencana-rencana ilmiah yang dapat dijadikan rujukan bagi mereka yang memerlukannya seperti www.usm.lib.my, www.utem.edu.my/press,  pkukmweb.ukm.my/penerbit dan sebagainya. Media massa seperti surat khabar dan majalah turut tidak ketinggalan diterbitkan dalam bentuk penerbitan online seperti Berita  Harian, The Star, Utusan  Malaysia, Kosmo, Metro, dan Sinar  Harian. Melalui penerbitan online ini, berita tentang pelbagai negara boleh diketahui dengan mudah oleh sesiapa sahaja  tanpa batasan masa dan tempat selagi tempat tersebut boleh mengakses internet. Kemudahan yang ada ini turut dimanfaatkan oleh parti-parti pembangkang dalam mengeluarkan akhbar secara online seperti Harakahdaily dan Suara Keadilan. Melalui penerbitan sebegini, masyarakat dapat mengetahui perkembangan demokrasi serta memberi kebebasan untuk berpolitik bagi mempertimbangkan baik dan buruk sesuatu perkara.

            Dewan Bahasa dan Pustaka turut terlibat dalam penerbitan elektronik melalui Karyanet yang turut diterbitkan dalam edisi elektronik. Orang ramai boleh membelinya dan membacanya dengan menggunakan perisian Adobe Acrobat atau Adobe Reader. Malah melalui Karyanet juga disediakan komik elektronik, khusus untuk kanak-kanak. Melalui capaian Klik DBP juga membolehkan kita untuk mencari perkataan bahasa Melayu yang ingin diketahui maksudnya, ejaan, seerti dan bermacam-macam lagi. PTS Publications pula dengan kerjasama Metadome Sdn Bhd menerbitkan judul-judul terpilih edisi cetakannya kepada bentuk buku mudah alih yang dikenali sebagai Mbook atau mobile book dan ia dikatakan mendapat sambutan hangat. 

            Kamus eletronik Oxford English Dictionary pula telah membuka lembaran baru dalam sejarah manusia dalam mencari dan mengurus maklumat. Seperti kamus cetak juga, setiap perkataan dan konsep yang dijadikan entri dalam kamus eletronik itu disertai makna, antonim, sinomin, contoh penggunaan, bentuk singkatan, penerangan tentang nahu, etimologi, kelas, sumber rujukan, dan sifat-sifat lain. Di samping itu, seorang usahawan teknologi maklumat, Che Onn Ismail turut mengambil inisiatif bagi menerbitkan majalah dalam talian(e-penerbitan), www.wuuhuuonline.com iaitu E-Komik yang mengetengahkan konsep humor kepada pembaca. Idea menerbitkan majalah dalam talian ini tercetus apabila beliau memikirkan perkara yang diinginkan oleh pengguna, khususnya golongan remaja sekarang dan yang akan datang. Ia juga dibangunkan bertujuan memupuk minat membaca secara digital dalam kalangan masyarakat Malaysia dan dunia sekaligus dapat mendedahkan mereka mengenai konsep penerbitan tanpa kertas.

            Sesungguhnya penerbitan elektronik semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tidak kira di dalam mahupun di luar negara. Hal ini bertepatan dengan kehendak arus zaman moden kini yang banyak bergantung terhadap bahan elektronik. Keadaan ini  telah memudahkan kerja-kerja penerbitan, menyingkatkan waktu, serta mengurangkan tenaga manusia. Hidup dalam persekitaran maklumat eletronik ini, kita perlu tahu cara yang terbaik dalam mengurus dan menggunakan maklumat itu. Kita perlu menghargai kemajuan dan kecanggihan yang telah dicapai setakat ini. 

            Dengan itu, sebagai manusia yang hidup bermasyarakat, kita mesti peka kepada komuniti dan organisasi baru yang lahir atau terbentuk daripada persekitaran maklumat baru itu agar kita tidak jauh ketinggalan maklumat serta ilmu baru. Oleh itu, sebagai generasi baru yang pada peringkat awal sudah didedahkan kepada arus teknologi elekronik, kita perlulah memanfaatkan sepenuhnya kemudahan dan kemajuan ini agar kita  mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan masyarakat di negara maju yang lain melalui pembacaan serta perkongsian ilmu. Melalui penerbitan tanpa kertas ini, kita dianggap bergerak sejajar dengan arus moden sekaligus mewujudkan keseimbangan ekosistem dengan mengurangkan penebangan pokok akibat daripada penggunaan kertas itu sendiri.


BIBLIOGRAFI

Stuart Allan (2006). Online News : Journalism and the Internet. Berkshire England : Open            University Press.   
Chamil Wariya (2008). Penulisan Berkesan: Media Cetak, Elektronik dan Web. Kuala        Lumpur : Malaysian Press Institute.

http://ms.wikipedia.org/wiki/Buku         (8 Mac 2012)



(21 Feb.2012)

(26 Mac 2012)





MENILAI RENCANA MIOR KAMARUL SHAHID "OLMERT Penjenayah No. 1 Dunia"



Pengenalan
          Rencana yang dinilai dalam tugasan ini adalah rencana yang bertajuk ‘OLMERT Penjenayah No 1 Dunia’ oleh Mior Kamarul Shahid yang disiarkan di dalam majalah Milenia Muslim. Penilaian ini akan merangkumi aspek-aspek pendekatan penulisan, aspek bahasa seperti tatabahasa, pemilihan kata, ejaan dan tanda baca. Menurut Awang Sariyan (2009: 118) dalam bukunya yang bertajuk Tertib Mengarang Asas Retorik untuk Pelajar dan Pendidik menyatakan terdapat enam syarat dan kaedah  untuk menghasilkan ayat yang berkesan iaitu kesatuan gagasan, kepaduan, penekanan atau penegasan, kepelbagaian, kesejajaran, serta penalaran dan logika. Enam syarat dan kaedah tersebut akan dibincangkan dalam bahagian aspek pendekatan bahasa. Dengan menggunakan enam syarat dan kaedah penulisan tersebut, maka ayat yang berkesan dapat dihasilkan.

Pendekatan penulisan
         Karangan yang berkesan bergantung pada ayat yang berkesan. Ayat yang berkesan pula ialah ayat yang dapat menampilkan sesuatu fikiran atau maklumat dengan jelas. Ayat yang tidak sempurna, baik dari segi bentuknya mahupun maknanya di samping tidak dapat menyatakan buah fikiran secara berkesan merupakan ayat yang tidak berkesan. Terdapat enam syarat dan kaedah untuk menghasilkan ayat yang berkesan. Syarat yang paling utama ialah kesatuan, kepaduan serta penalaran dan logika manakala penekanan, kepelbagaian dan kesejajaran dianggap unsur pelengkap. Kesatuan gagasan merupakan pendekatan penulisan yang utama dalam penulisan. Kesatuan gagasan ialah di mana setiap ayat hendaklah mendukung sesuatu gagasan atau idea. Gagasan atau idea tersebut berfungsi dalam mengembangkan tema atau isu yang menjadi asas karangan. Sesebuah karangan perlu bertunjangkan satu tema dan ayat atau isu pokok. Tema itu memerlukan huraian dan pengembangan melalui ayatlah huraian itu dapat dibuat. Maka jelaslah, setiap ayat dalam sesebuah karangan seharusnya berisi satu gagasan yang jelas. Contoh yang terdapat dalam rencana ialah:

                          “Dengan tersiarnya kenyataan angkuh Olmert di televisyen, secara spontan timbul bibit menyampah kepadanya yang meluap-luap, terutamanya bila melihat raut wajahnya yang tidak sedikit pun kelihatan ciri-ciri kemanusiaan. Riak wajah dan nada suaranya menampakkan beliau adalah seorang yang tidak berhati perut.”
            Contoh petikan rencana tersebut dalam memperlihatkan adanya kesatuan gagasan yang hanya mempunyai satu tema yang berfokus pada satu topik iaitu tentang sikap buruk Olmert sehingga menimbulkan pandangan negatif mengenai beliau. Secara tidak langsung pembaca dengan mudah dapat memahami setiap gagasan yang ingin disampaikan oleh pengarang iaitu perihal betapa buruknya sikap Olmert itu sendiri.

            Ciri yang seterusnya ialah kepaduan yang bererti hubungan timbal balik yang baik dan jelas antara unsur pembentuk ayat. Sesuatu ayat terbentuk kerana ada jalinan antara kata dan frasa. Melalui jalinan antara kata dengan kata dan frasa dengan frasa inilah terbentuknya ayat. Hubungan antara satu kata atau frasa dengan kata atau frasa yang lain mestilah menepati perjalanan sesebuah penulisan. Kepaduan ayat akan terjejas jika susunan kata dalam konteks tersebut tidak menurut Hukum D-M. Menurut aturan ini, kata yang diterangkan (kata utama) letaknya di hadapan kata yang menerangkan (penerang). Contoh yang terdapat dalam rencana ialah:

“Masyarakat dunia yang benci kepada kekejaman akan menyenaraikan Ehud Olmert, Perdana Menteri Israel, sebagai orang yang paling dibenci di dunia hari ini.”
            Berdasarkan contoh di atas ini, didapati frasa ‘Ehud Olmert, Perdana Menteri Israel’ menepati Hukum D-M. Hal ini kerana Ehud Olmert ialah individu yang hendak diterangkan manakala Perdana Menteri Israel menerangkan siapakah sebenar individu yang diterangkan.

Pendekatan penulisan yang seterusnya ialah penalaran dan logika yang juga merupakan salah satu unsur utama dalam penulisan. Penalaran berkait rapat dengan konsep daya hujah. Penalaran juga dapat diertikan sebagai keupayaan untuk menggunakan daya hujah yang baik. Dalam bahasa Inggeris, ada konsep reasoning yang kira-kira sama ertinya dengan penalaran. Logika pula dapat diertikan sebagai sistem berfikir, iaitu sesuatu gagasan disusun sehingga dapat diterima oleh akal yang sihat. Logika atau sistem berfikir inilah yang memungkinkan  berlakunya penalaran atau keupayaan untuk menggunakan daya hujah secara baik. Ayat yang berdasarkan prinsip penalaran atau logika menggambarkan bagaimana teraturnya dan jelasnya pemikiran penulis sewaktu menghasilkan gagasan melalui ayat itu. Terdapat dua dasar dalam proses berfikir secara logis iaitu takrif dan batasan sesuatu gagasan serta generalisasi tentang sesuatu gagasan. Ada beberapa jenis takrif seperti takrif sinonim, takrif yang berdasarkan etimologi, takrif formal dan takrif luas. Di dalam rencana tersebut dapat memperlihatkan ayat berdasarkan prinsip penalaran dan logika.

Contoh yang terdapat dalam rencana:
“Pada awal Februari 2008, ramai tersentak apabila Olmert tanpa ragu-ragu memberitahu dunia berhubung ikrar negaranya untuk melancarkan serangan terhadap Hamas. Bagaikan seorang manusia yang tidak berperasaan dan tidak peduli pandangan dunia terhadap negaranya, Olmert dengan kasar mengatakan bahawa negaranya akan bertindak balas sekeras-kerasnya terhadap rakyat Palestin.”
            Melalui contoh petikan ini, ayat tersebut menggambarkan bagaimana teraturnya dan jelasnya pemikiran penulis sewaktu menghasilkan gagasan melalui ayat itu. Inilah syarat yang patut dipenuhi oleh setiap penulis supaya pembaca tidak terseksa oleh kekabutan pemikiran penulis.

Selain itu, penekanan atau penegasan juga merupakan salah satu pendekatan penulisan yang penting. Penegasan menjadi ciri yang dapat memberikan ayat yang berkesan. Ayat yang dapat menonjolkan sesuatu gagasan yang sekali gus menjadi tema ayat ialah ayat yang berkesan. Salah satu cara untuk menimbulkan penegasan ialah mengubah kedudukan bahagian tertentu dalam ayat. Bahagian yang berisi gagasan yang hendak ditegaskan hendaklah dipindahkan ke hadapan. Dalam tatabahasa, ada susunan ayat  yang disebut songsang atau disebut sebagai penyongsangan ayat. Ia bermaksud dalam susunan ayat yang biasa, bahagian subjek ayat diletakkan di hadapan manakala bahagian predikat terletak di belakang. Penggunaan tatabahasa yang baik dapat menghasilkan ayat dan bahasa yang berkesan.

Contoh petikan rencana yang mempamerkan penegasan menggunakan penyongsangan ayat ialah :
            Sungguh lucu tindakan itu kerana menganggap serangan balas terhadap                            Hamas berikutan serangan roket dari Gaza yang menyebabkan tiga rakyatnya cedera.”

Penegasan ayat juga boleh dibuat dalam bentuk pemasifan ayat serta mengulang unsur tertentu dalam ayat. Penegasan sesuatu gagasan dalam satu ayat dapat juga dihasilkan dengan mempertentangkan dua kenyataan. Teknik ini membolehkan kita berfikir secara positif dan negatif sekaligus. Selain itu, untuk menimbulkan penegasan adalah dengan mengulang unsur tertentu dalam ayat seperti yang terdapat dalam rencana. Contoh petikan rencana:

“Soalnya orang yang bertanggungjawab mencetuskan jenayah ini terus bebas dan tidak dikenakan sebarang tindakan. Perbuatan jenayah mereka ini bukan tidak disenangi oleh majoriti masyarakat antarabangsa. Malah, satu kumpulan hak asasi manusia Israel yang tidak mahu dikenali telah mewujudkan laman web untuk mempamerkan jenayah-jenayah yang telah dilakukan oleh Israel.”

            Contoh di atas ini dapat dilihat pengulangan kata jenayah yang menjadi kata kunci dalam ayat itu. Pembaca dengan cepat dapat menangkap tema ayat atau gagasan yang ingin disampaikan oleh penulis iaitu mengenai jenayah yang telah dilakukan oleh pihak yang terbabit.

Selain itu, kepelbagaian juga adalah salah satu prinsip dalam penulisan yang menjadi unsur pelengkap. Kepelbagaian bererti kelainan bentuk yang digunakan untuk menyatakan sesuatu maksud. Kepelbagaian bentuk bahasa dapat dizahirkan dalam tulisan dengan memanfaatkan unsur seperti sinonim (kata seerti), kepelbagaian pola dan jenis ayat, kepelbagaian ayat aktif dan ayat pasif, serta kepelbagaian yang melibatkan perubahan kedudukan sesuatu unsur dalam ayat. Paduan kepelbagaian tersebut dapat menghidupkan tulisan, di samping dapat mengelakkan rasa jemu pada pembaca.

Dalam rencana tersebut dapat memperlihatkan adanya kepelbagaian dalam ayat dengan menggunakan kata sinonim (kata seerti). Contoh petikan rencana: 

“Inilah perbezaan persepsi yang berlaku di antara negara yang menyokong dan menentang Yahudi.”
            Berdasarkan contoh di atas ini, kata persepsi bersinonim dengan pandangan atau pendapat. Penggunaan kata sinonim ini secara tidak langsung dapat menarik minat pembaca sekali gus menambahkan pengetahuan pembaca.

Kesejajaran juga merupakan prinsip penulisan yang penting dalam ayat yang berkesan. Kesejajaran juga dianggap sebagai unsur pelengkap. Kesejajaran bermaksud sesuatu gagasan atau idea yang dinyatakan dalam bentuk kata nama (gaya nominal) hendaklah diikuti oleh gagasan lain (yang sama fungsinya) dalam bentuk kata nama juga.

Contoh ciri kesejajaran dalam petikan ialah :
            “Bagi rakyat dan negara yang mempunyai kepentingan dengan Yahudi,                            khususnya Amerika Syarikat, mereka tidak akan meletakkan kesalahan                                    sepenuhnya kepada Israel walaupun pada permukaan, mereka cuba                             menyembunyikan pendirian sebenar.”
            Semua kata yang berhuruf tebal itu merupakan kata kunci yang mendukung gagasan dalam ayat tersebut. Dapat diperhatikan bahawa semuanya berbentuk kata nama. Bentuk ini juga disebut sebagai gaya nominal. Andai kata salah satu kata itu ditukar bentuk menjadi kata kerja, hilanglah ciri kesejajaran. Hal tersebut dapat mengurangkan kelancaran penampilan gagasan sehingga ayat menjadi kurang berkesan.

Perubahan bentuk salah satu kata yang sama fungsinya dalam ayat menghilangkan ciri kesejajaran dan akan menjejaskan keberkesanan ayat. Pemilihan bentuk kata kerja (gaya verbal) perlu digunakan secara tekal agar terpelihara ciri kesejajaran ayat. Kita mempunyai pilihan sama ada mahu menggunakan ayat gaya nominal ataupun gaya verbal. Perbincangan mengenai ciri kesejajaran dapat melahirkan ayat yang berkesan.
           
 Aspek Bahasa
            Menurut Kamus Dewan edisi keempat, 'bahasa' membawa maksud sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan manusia iaitu antara seorang individu dengan individu yang lain. Manakala menurut Awang Sariyan pula bahasa merupakan alat atau senjata komunikasi, baik dalam komunikasi lisan mahupun komunikasi tulisan. Oleh itu, penguasaan sistem bahasa amat penting kerana setiap unit bahasa yang digunakan, sama ada kata, frasa, klausa mahupun ayat ada sistemnya. Demikian juga halnya dengan bagaimana kata dieja atau ditulis. Dalam penulisan, penguasaan sistem bahasa amat penting kerana bahasa tulisan lazimnya perlu lebih teratur daripada bahasa lisan. Dalam tulisan, segala-galanya mesti ditunjukkan dalam bentuk penyataan maklumat atau mesej yang penuh teratur dan lengkap, iaitu dengan kata lainnya menggunakan bahasa yang teratur.

Ejaan
            Kesalahan ejaan sering kali berlaku dalam mana-mana artikel. Keadaan ini juga turut berlaku dalam artikel Olmert Penjenayah No 1 Dunia. Perkara ini perlu diberi perhatian kerana kadangkala kesalahan ejaan turut menyebabkan maksud yang hendak disampaikan tidak dapat disampaikan dengan baik. Antara contoh kesalahan ejaan yang terdapat dalam artikel ini ialah:

“Alasan, serangan Hamas itu berlaku sewaktu tempoh gencaan senjata bermula 18 Januari 2009 setelah Gaza bertalu-talu diserang selama 22 hari sebelum itu, juga tidak berpandukan kepada keadilan.”

Berdasarkan petikan rencan diatas, sememangnya terdapat kesalahan ejaan. Kesalahan  ejaan dapat dilihat pada perkataan ‘gencaan’. Jika dilihat yang sepatutnya ‘gencaan’ tersebut dieja sebagai ‘gencatan’. Sebagai contoh:

“Alasan, serangan Hamas itu berlaku sewaktu tempoh gencatan senjata bermula 18 Januari 2009 setelah Gaza bertalu-talu diserang selama 22 hari sebelum itu, juga tidak berpandukan kepada keadilan.”

Contoh kedua yang terdapatnya kesalahan ejaan ialah dalam petikan:

“Anak-anak kehilangan ibu bapa tempat bergantung, ibu bapa kehila-ngan anak-anak yang mereka sayangi, iksteri kehilangan suami dan suami kehilangan isteri dan sebagainya.”
Jika dilihat dalam contoh ayat dari petikan rencana ini, terdapat dua kesalahan ejaan. Yang pertama ialah kesalahan ejaan perkataan ‘kehila-ngan’ yang sepatutnya ditulis sebagai ‘kehilangan’. Kesalahan ejaan yang kedua ialah pada perkataan ‘iksteri’ yang sepatutnya ditulis sebagai ‘isteri’. Contoh ayat yang menggunakan ejaan yang betul ialah:

“Anak-anak kehilangan ibu bapa tempat bergantung, ibu bapa kehilangan anak-anak yang mereka sayangi, isteri kehilangan suami dan suami kehilangan isteri dan sebagainya.”

Kesalahan ejaan yang seterusnya ialah dalam ayat:

“Bagaimanapun, tidak akan ada satu keputusan yang adil akan diambil terhadap Israel kerana selama ini pun Israel sentiasa dilihat tidak pernah melalukan kesalahan. Sebaliknya, jika ia membabitkan uma Islam, segala kesalahan akan ditujukan kepada mereka.”

Dalam petikan ini juga terdapat dua kesalahan ejaan. Yang pertama ialah dalam perkataan ‘melalukan’ yang sepatutnya dieja sebagai ‘melakukan’. Manakala kesalahan yang sedua ialah perkataan ‘uma’ Islam yang sepatutnya dieja sebagai ‘umat Islam’. Contoh petikan yang dieja dengan betul ialah:

“Bagaimanapun, tidak akan ada satu keputusan yang adil akan diambil terhadap Israel kerana selama ini pun Israel sentiasa dilihat tidak pernah melakukan kesalahan. Sebaliknya, jika ia membabitkan umat Islam, segala kesalahan akan ditujukan kepada mereka.”

Tanda Baca
            Selain daripada kesalahan ejaan, dalam rencana ini juga turut terdapatnya kesalahan tanda baca. Terdapat beberapa ayat yang mempunya kesalahan tanda baca yang dapat dilihat. Tanda baca merupakan salah satu perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh penulis. Hal ini kerana sesetengah ayat yang menggunakan tanda baca yang salah akan membawa maksud yang berlainan dari maksud asal yang ingin disampaikan. Antara petikan ayat yang menggunakan tanda baca yang salah ialah:

Apa kah Amerika Syarikat mempunyai kewibawaan untuk menasihati Israel supaya memberhentikan serangan sedangkan dalam perang terhadap Iraq, Amerika Syarikat melakukan apa saja tanpa mendengar pandangan dunia.”

            Dalam petikan ini, terdapat kesalahan penggunaan tanda baca. Hal ini dapat dilihat apabila penulis menggunakan perkataan ‘apakah’ iaitu yang membawa maksud persoalan atau pertanyaan. Oleh disebabkan itu, ayat tersebut perlu digunakan tanda soal (?) di hujung ayat. Contohnya:

Apakah Amerika Syarikat mempunyai kewibawaan untuk menasihati Israel supaya memberhentikan serangan sedangkan dalam perang terhadap Iraq, Amerika Syarikat melakukan apa saja tanpa mendengar pandangan dunia?”
 
Keadaan ini sama juga dalam petikan ayat:

“...apakah negara kuasa besar itu mahu Israel kencing berlari pula.”

Dalam ayat ini juga penulis menggunakan perkataan ‘apakah’ iaitu penanda ayat tanya atau ayat soal. Oleh itu, penulis sepatutnya meletakkan tanda soal (?) di akhir ayat tersebut sebagai tanda ayat tanya. Contohnya:

“...apakah negara kuasa besar itu mahu Israel kencing berlari pula?”

Selain daripada menggunakan ayat tanya ‘apakah’, penulis juga menggunakan kata soal ‘apa’ namun tidak juga menggunakan tanda soal (?). Ini dapat dilihat dalam petikan:

“Apa ertinya kemenangan jika ia menjadi ratapan ribuan keluarga yang menerima kesan keatas kematian orang yang tersayang.”

Kesalahan dalam petikan ayat ini juga sama seperti kesalahan dalam ayat sebelum ini iaitu tidak menggunakan tanda soal (?). Dalam ayat ini tanda soal perlu digunakan kerana penulis menggunakan ayat tanya ‘apa’. Contoh ayat ini yang menggunakan tanda soal (?) ialah:

Apa ertinya kemenangan jika ia menjadi ratapan ribuan keluarga yang menerima kesan keatas kematian orang yang tersayang?”

Selain daripada kesalahan penggunaan tanda soal (?) dalam rencana ini juga terdapat kesalahan penggunaan huruf besar. Seperti yang sedia maklum, penggunaan huruf besar hanya digunakan pada awal ayat dan kata nama khas sahaja.  Contoh kesalahan penggunaan huruf besar dalam rencana ini ialah:

DAlam peperangan, sebarang langkah bermula daripada provokasi.” 

Dalam petikan ayat diatas dapat dilihat bahawa penulis menggunakan huruf besar pada dua huruf dalam perkataan pertama. Sedangkan yang sepatutnya adalah hanya digunakan pada huruf pertama dalam perkataan pertama sahaja. Contohnya:

Dalam peperangan, sebarang langkah bermula daripada provokasi.”

Kesalahan Kata
Dalam rencana ini juga terdapat beberapa kesalahan dalam pemilihan kata. Perkara ini sepatutnya dielakkan oleh penulis. Hal ini kerana ia hanya akan menunjukkan kelemahan penulis dalam menulis. Antara petikan ayat yang mempunyai kesalahan dalam pemilihan kata ialah:

“Dengan tersiarnya kenyataan angkuh Olmert di televisyen, secara spontan timbul bibit menyampah kepadanya yang meluap-luap, terutama bila melihat raut wajahnya yang tidak sedikit  pun kelihatan ciri-ciri kemanusiaan.”

Dalam petikan ayat ini kita dapat lihat penulis menggunakan perkataan ‘bila’ yang sepatutnya digantikan dengan ‘apabila’. Hal ini kerana ‘bila’ adalah kata tanya sedangkan penulis  tidak menunjukkan ayat tersebut sebagai ayat tanya. Sepatutnya ayat yang betul ialah:

“Dengan tersiarnya kenyataan angkuh Olmert di televisyen, secara spontan timbul bibit menyampah kepadanya yang meluap-luap, terutama apabila melihat raut wajahnya yang tidak sedikit  pun kelihatan ciri-ciri kemanusiaan.”

Kesalahan dalam pemilihan kata yang seterusnya ialah:

“Atau, adakah inilah niat sebenar mereka untuk membunuh sesama manusia.”
Dalam ayat ini penulis menggunakan pengulangan kata penegas iaitu ‘kah’ dan ‘lah’. Sepatutnya penulis tidak perlu menggunakan kata penegas ‘lah’ dalam perkataan ‘inilah’. Sepatutnya:
 “Atau, adakah inilah niat sebenar mereka untuk membunuh sesama manusia.”

Kesalahan Ayat
Selain daripada beberapa kesalahan seperti kesalahan ejaan, kesalahan tanda baca dan lain-lain, dalam rencana ini juga terdapat kesalahan ayat. Kesalahan ayat ini merangkumi kesalahan dalam penggunaan sesuatu perkataan iaitu tidak menggunakan perkataan tersebut pada tempat yang sepatutnya. Dalam rencana ini terdapat tiga kesalahan ayat yang telah dilakukan oleh penulis.
Kesalahan dalam pemilihan kata yang pertama ialah:

“Memang, peluru tidak bermata, tetapi apakah perlu peluru itu ditembak ke sasarannya yang sah ramai manusia.”

Dalam ayat ini sepatutnya penulis perlu menggunakan ‘terdapat’ untuk menunjukkan terdapat ramai manusia pada sasaran peluru tersebut. Contoh ayat yang betul ialah:

“Memang, peluru tidak bermata, tetapi apakah perlu peluru itu ditembak ke sasarannya yang sah terdapat ramai manusia.”

Kesalahan ayat yang kedua ialah:

“Bagaikan seorang manusia yang tidak berperasaan dan tidak peduli tentang pandangan dunia terhadap negaranya, Olmert dengan kasar mengatakan bahawa negaranya akan bertindak balas sekeras-kerasnya rakyat Palestin.”

Dalam ayat ini pula, penulis sepatutnya menggunakan ‘terhadap’ pada kata rakyat Palestin. Hal ini kerana bagi menunjukkan tindak balas yang akan dilakukannya terhada rakyat Palestin. Contoh ayat yang betu ialah:

“Bagaikan seorang manusia yang tidak berperasaan dan tidak peduli tentang pandangan dunia terhadap negaranya, Olmert dengan kasar mengatakan bahawa negaranya akan bertindak balas sekeras-kerasnya terhadap rakyat Palestin.”

Kesalahan ayat yang ketiga ialah:
“Memang, peluru tidak bermata tetapi apakah perlu peluru iti ditembak ke sasarannya yang sah terdapat ramai manusia. Atau, adakah ini niat sebenar mereka untuk membunuh sesama manusia.”
Dalam ayat ini sepatutnya penulis menggabungkan dua ayat tersebut menjadi satu ayat. Ini kerana penulis menggunakan kata hubung ‘atau’ di awal ayat kedua. Sepetutnya ayat tersebut ditulis:
“Memang, peluru tidak bermata tetapi apakah perlu peluru iti ditembak ke sasarannya yang sah terdapat ramai manusia atau, adakah ini niat sebenar mereka untuk membunuh sesama manusia?”
 
Kesimpulan
            Sebagai kesimpulannya, dapatlah dirumuskan bahawa setiap penulis perlu menggunakan pendekatan penulisan yang betul seperti yang telah disarankan oleh Prof. Awang Sariyan dalam bukunya Tertib Mengarang Asas Retorik untuk Pelajar dan Pendidik. Penedekatan tersebut adalah seperti yang telah dibincangkan iaitu kesatuan gagasan, kepaduan, penekanan atau penegasan, kepelbagaian, kesejajaran, serta penalaran dan logika. Dengan menggunakan pendekatan tersebut, dapat menghasilkan ayat yang berkesan serta menarik minat pembaca untuk membaca hasil tulisan penulis. Jika pendekatan penulisan yang betul ini tidak digunakan, ia hanya akan menyebabkan sesuatu hasil tulisan itu tidak mantap dan juga boleh menyebabkan pembaca hilang minat untuk membaca.
            Selain daripada itu, penulis juga perlu memberi perhatian yang lebih kepada aspek bahasa seperti tanda baca yang betul, ayat yang betul dan berkesan, dan yang paling penting ejaan. Penulis sepatutnya bertanggungjawab dalam meminimumkan kesalahan aspek bahasa dengan sebaik mungkin kerana jika terdapat kesalahan bahasa dalam penulisan hanya akan mencerminkan kelemahan penulis dalam menulis sesuatu perkara. Hal tersebut juga dapat menghilangkan minat pembaca dari terus membaca hasil karya penulis.

 BIBLIOGRAFI

Awang Sariyan, 1999. Tertib Mengarang Asas Retorik untuk Pelajar dan Pendidik. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Keempat (cetakan tahun 2007). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rogayah A. Hamid, 2009. Pedoman Bahasa Melayu : Koleksi Lembar Bahasa 1. Kuala     Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.